Feb 15, 2026 - FASSelangor FC mara ke pusingan Separuh Akhir Piala Malaysia 2025/26 dengan agregat 6-1 selepas menewaskan Negeri Sembilan FC 5-1 dalam perlawanan Suku Akhir kedua di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, semalam.
Selangor FC memulakan perlawanan dengan agresif dan membuka jaringan seawal minit ke-2 menerusi Faisal Halim, sekali gus menetapkan rentak permainan. Pasukan tuan rumah menggandakan kelebihan pada minit ke-24 apabila Alvin Fortes menemui sasaran, sebelum Nooa Laine menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-30. Menjelang tamat separuh masa pertama (45+2’), Quentin Cheng menambah gol keempat untuk melengkapkan aksi dominan Gergasi Merah di babak pertama.
Pada separuh masa kedua, Chrigor Moraes melebarkan jurang kepada 5-0 pada minit ke-66. Negeri Sembilan FC kemudian berjaya meraih gol tunggal mereka pada minit ke-74 apabila Jovan Motika menyempurnakan sepakan penalti untuk menjadikan kedudukan 5-1.
Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon, beliau gembira dengan persembahan pemain dan menyatakan perlawanan ini istimewa kerana sokongan padu penyokong di stadium.
“Saya gembira dengan persembahan mereka semalam. Para pemain beraksi dengan penuh bersemangat dengan mencipta banyak peluang serta menunjukkan keinginan yang tinggi untuk mencapai sasaran pasukan. Di laman sendiri, kita mahu membina identiti yang menghadirkan kegerunan dengan menjaringkan gol awal, mengawal perlawanan dan mendominasi permainan. Dalam masa yang sama, beraksi di hadapan stadium yang penuh menjadikan perlawanan ini amat istimewa,” puji Kim Pan-gon.
“Namun begitu, kita perlu terus merendah diri. Masih banyak perkara yang perlu diperbaiki dan kita harus lebih tajam dalam penyudah kerana sebenarnya mampu menjaringkan lebih banyak gol dalam perlawanan sebelum ini. Satu kemenangan besar tidak bermakna kita boleh leka. Pasukan akan terus bekerja langkah demi langkah, kekal fokus dan bersedia untuk cabaran seterusnya,” tambahnya lagi.
Daripada perlawanan Suku Akhir kedua Piala Malaysia 2025/26 #SFCNSE semalam, beberapa perkara penting dapat diperhatikan:
Gol Chrigor Moraes – Penyerang prolifik Selangor FC menjaringkan gol keempat beliau dalam saingan Piala Malaysia 2025/26 sekali gus membantu beliau mencipta rekod dengan 30 gol sepanjang bersama pasukan.
Layak ke Separuh Akhir – Ini merupakan kali ke-35 Selangor FC berjaya layak ke peringkat Separuh Akhir Piala Malaysia sepanjang sejarah kejohanan ini.
Minggu hadapan, Selangor FC akan menerima kunjungan Kuching City FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 22 Februari ini bagi saingan Liga Super 2025/26, jam 10 malam. Dapatkan tiket anda melalui saluran rasmi Selangor FC.
Pihak Pengurusan Selangor FC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penyokong Gergasi Merah yang memenuhi Stadium MBPJ, Kelana Jaya buat kali pertama. Kami amat menghargai sokongan anda.
Demi Kebanggaan!
Kesebelasan Utama: Kalamullah Al-Hafiz, Quentin Cheng, Nooa Laine, Faisal Halim ©, Noor Al Rawabdeh, Hugo Boumous, Alvin Fortes, Zikri Khalili, Safuwan Baharudin, Mamadou Diarra & Chrigor Moraes.
Pertukaran: 60’ Alvin Fortes > Vitor Pernambuco, 60’ Kim Ji-ho > Faisal Halim, 69’ Syahir Bashah > Noor Al Rawabdeh, 82’ Fazly Mazlan > Quentin Cheng.